Malaysia Dateline

Petisyen desak Tajuddin letak jawatan raih lebih 62,000 sokongan kurang 24 jam

Petisyen mendesak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini ditandatangani lebih 62,000 orang setakat jam 1 petang ini.

Petisyen menerusi tandatangan dalam talian Change.org itu dilancarkan 18 jam lalu susulan kegagalan dan tiada rasa sensitif Ahli Parlimen Pasir Salak dari Umno itu dalam nahas membabitkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) kelmarin.

Menurut petisyen itu, Tajuddin sama sekali tidak layak menduduki jawatan itu kerana bersikap angkuh dan bongkak seperti yang berlaku pada sidang media semalam.

Wakil rakyat yang sebelum ini memang dikenali suka menggunakan perkataan seksis dan kesat ketika perbahasan di Dewan Rakyat itu juga dilihat memalukan negara ketika menjawab soalan pemberita asing dari agensi Phoenix TV China.

“Selain itu, beliau (Tajuddin) juga telah melanggar SOP berikutan tidak memakai pelitup muka, sebaliknya hanya memakai pelindung muka sahaja.

“PDRM dan KKM perlu ambil tindakan tegas ke atas Tajudin,” dipetik dari Change.org.

Dalam masa sama, tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan menjadi sohor kini di Twitter. 

Sejak semalam, Tajuddin dikecam teruk sejurus ditanya pemberita ketika nahas paling teruk dialami LRT sejak lebih 20 tahun beroperasi itu telah menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan.

Normal… only the two cars together. They kiss each other,” jawab bekas pesakit Covid-19 itu selamba sambil ketawa.

Dia juga dilihat membuat lawak bodoh, “ventilation atau ventilator” selain memberi alasan ketidakhadirannya di lokasi pada malam nahas itu kerana kononnya baru balik dari kerja dengan keesokannya perlu mendapatkan suntikan vaksin.