Malaysia Dateline

Terus meningkat, hampir 100,000 sokong petisyen ‘Najib tidak wajar diampun’

Satu petisyen yang digerakkan sejak Rabu lalu bagi memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak, meraih hampir 100,000 tanda tangan.

Petisyen tersebut yang digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu semakin mendapat sokongan apabila angka itu dilihat meningkat setiap minit, sejak petisyen disiarkan di laman Change.org.

Petisyen tersebut bertajuk: Petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan.

.

Menerusi catatan ringkas ditinggalkan di laman tersebut, Bersih 2.0 memohon agar Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk tidak mempertimbangkan sebarang permohonan pengampunan oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini.

Sebagai rakyat katanya, mereka berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh pemimpin yang diberi mandat membangun negara tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara. 

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian. 

“Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia. 

“Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapapun pelakunya. Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa

“Ampun Tuanku, bimbinglah patik-patik sekalian agar dapat mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang melawan rasuah dan salah guna kuasa,” tulis gabungan itu.

Sehingga berita ini dilaporkan, seramai 99,890 sudah menandatangani petisyen berkenaan.

Baca juga: Lelaki cerita pengalaman masuk penjara Kajang, ‘Sangat gelap, boleh murung, macam ada aura tak selesa’

Baca juga: Belajar pun dari YouTube lepas itu berani lawan nasihat pakar, doktor beri amaran jangan dengar cakap doula