Petisyen pilihan raya Kimanis, Sipitang kembali dibicara di Mahkamah Pilihan Raya

Petisyen pilihan raya Kimanis, Sipitang kembali dibicara di Mahkamah Pilihan Raya
Datuk Seri Anifah Aman (kanan) ketika membuang undi pada PRU14 lalu.-Foto Bernama.

Mahkamah Persekutuan semalam memerintahkan dua petisyen pilihan raya yang difailkan calon Parti Warisan Sabah bagi kerusi parlimen Kimanis dan Sipitang dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah yang mengetuai panel lima hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Datuk Karim Bujang, calon Parti Warisan Sabah bagi kerusi Parlimen Kimanis untuk mencabar kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Hakim Wong berkata panel hakim memutuskan Karim sebagai perayu telah mematuhi Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954 semasa memfailkan petisyen pilihan raya dan memerintahkan Anifah mambayar kos sebanyak RM50,000 kepada Karim.

“Kami membenarkan rayuan dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi  (Mahkamah Pilihan Raya),” katanya dan menetapkan Rabu ini bagi sebutan kes berkenaan.

Beliau juga membenarkan permohonan peguam Frederick Chang Tyn Chi yang mewakili Karim supaya perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim baru.

Pada 19 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu menolak petisyen pilihan raya difailkan Karim yang mencabar kemenangan Anifah, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya selepas membenarkan permohonan bekas menteri luar itu untuk membatalkan petisyen berkenaan.

Panel terdiri Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Nallini  Pathmanathan sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Ansari Abdullah dan Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Anifah serta Frederick Chang yang mewakili Karim.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas memperoleh 11,942 undi berbanding Karim (Warisan) dan Jaafar Ismail (Harapan) yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Sementara itu, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang lain memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Warisan Noor Hayaty Mustapha kembali ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop mengarahkan petisyen berkenaan didengar dihadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang lain dan menetapkan 25 Feb ini bagi pengurusan kes.

Peguam Noor Hayaty, Chung Jiun Dau berkata mahkamah tertinggi itu telah membenarkan rayuan anak guamnya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyen pilihan rayanya.

Hakim Ahmad yang bersidang mendengar rayuan itu bersama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Idrus Harun, memerintahkan Yamani Hafez Musa, anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, supaya membawa kos sebanyak RM50,000.

Yamani yang memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket Barisan Nasional dengan majoriti 852 undi mengalahkan saingannya dari Parti Warisan Sabah dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Peguam Jeyan T.M. Marimuttu mewakili Yamani.