Malaysia Dateline

Petronas dijangka akan menghentikan perkhidmatan hampir 1000 pekerjanya di bawah rancangan penstrukturan semula.

Petronas Dagangan catat pendapatan lebih tinggi pada Q3

Petronas Dagangan Bhd (PDB) melaporkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM7.82 bilion bagi suku ketiga (Q3) yang berakhir pada 30 Sept 2018 daripada RM6.87 bilion pada suku sebelumnya berikutan harga pasaran yang lebih tinggi.

Keuntungan bersih, bagaimanapun jatuh kepada RM270.27 juta daripada RM761.73 juta sebelum ini berikutan volum jualan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

Pada 2017, PDB menyaksikan keuntungan bersih Q3 meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM761.73 juta berikutan kenaikan daripada jualan anak syarikat milik penuh dan juga syarikat bersekutu 40 peratus di Filipina untuk RM424.6 juta.

“Perniagaan runcit mencatat kenaikan 2.3 peratus dalam jumlah jualan dan 5.5 peratus dalam keuntungan kasar, manakala perniagaan pelincir menyaksikan peningkatan 4.4 peratus dalam jumlah jualan dan 8.4 peratus dalam keuntungan kasar.

“Perniagaan komersial mencatat penurunan dalam jumlah jualan dan keuntungan kasar masing-masing sebanyak 8.5 peratus dan 6.0 peratus disebabkan oleh permintaan yang rendah untuk diesel dan Jet A-1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PDB juga berkata, perniagaan LPG mencatat penurunan kecil sebanyak 1.8 peratus dalam jumlah jualan manakala keuntungan kasar keseluruhan menurun 30.7 peratus disebabkan oleh kos produk yang lebih tinggi.

PDB mengisytiharkan dividen sebanyak 16 sen sesaham biasa untuk Q3.

“Tahun ini adalah untuk mencipta semula perniagaan kami, terutaman untuk runcit, di mana pelaburan diperlukan untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang unggul melalui penyelesaian inovatif dan kerjasama strategik yang akan membantu mengembangkan perniagaan bahan api dan bukan bahan api kami.

“Syarikat juga memberi tumpuan kepada agenda transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan operasi untuk memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dan berdaya saing,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Syed Zainal Abidin.

Beliau berkata, dalam suku keempat, syarikat itu berhati-hati bahawa ketidakstabilan harga minyak, ditambah dengan persekitaran ekonomi Malaysia dan sentimen pengguna, akan memberi kesan kepada keuntungan kumpulan.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan inventori, kecekapan pembekalan dan pengagihan serta pengoptimuman perbelanjaan mengurus untuk mengekalkan keuntungan syarikat,” tambahnya.

— BERNAMA