Petronas lepaskan 1,000 jawatan berperingkat dalam tempoh 6 bulan

Petronas lepaskan 1,000 jawatan berperingkat dalam tempoh 6 bulan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kumpulan Petronas mengumumkan bahawa syarikat itu akan menghentikan perkhidmatan hampir 1000 pekerjanya di bawah rancangan penstrukturan semula.

“Usaha menyeluruh berterusan akan dijalankan bagi menempatkan semula pekerja yang terlibat.

“Petronas seterusnya akan memulakan proses pemisahan bagi pekerja-pekerja ini seperti yang diperlukan yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan akan datang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut laporan tahunan 2014, Petronas menggaji sejumlah 50,949 pekerja.

Penyusunan semula itu dibuat hanya beberapa bulan selepas Shell Malaysia mengumumkan langkah pengurangan pekerjanya.

Pada 30 September lalu, Shell mengumumkan bahawa ia akan menamatkan perkhidmatan 1,300 perkerja daripada jumlah 6,500 yang berkhidmat dengan syarikat itu.
Dalam kenyataan di laman webnya, Petronas komited untuk melakukan yang terbaik untuk menempatkan semula pekerja yang terkesan.

Petronas menyatakan akan selesai melepaskan pekerja tersebut dalam masa 6 bulan.

Menurut Petronas, struktur baru ini akan menjadikan syarikat lebih efisyen dalam berdepan suasana persekitaran luaran yang mencabar.

Dalam masa yang sama Petronas turut mengumumkan perubahan dalam kepimpinan tertinggi syarikat.

hampir kesemua jawatan termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan dikekalkan, namun, Ketua Pegawai Eksekutif, Huluan kini dipegang oleh Datuk Mohd Anuar Taib.

Struktur baru ini akan berkuatkuasa 1 April 2016.

Potong Perbelanjaan CAPEX, OPEX

Sebelum ini Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata Petronas akan memotong perbelanjaan CAPEX dan OPEX syarikat sebanyak RM50 bilion bagi tempoh empat tahun akan datang.

Beliau membuat kenyataan berkenaan pada Isnin, ketika membentangkan laporan kewangan Petronas.
Tambah Petronas, tahun 2016 dan 2017 akan menjadi tahun yang lebih mencabar mencabar untuk syarikat tersebut susulan harga dan permintaan rendah.

Untung sebelum cukai Petronas susut 53 peratus kepada RM36.68 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2015 berbanding RM77.69 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2014.

Hasil merosot 24 peratus kepada RM247.66 juta semasa tempoh dalam kajian, berbanding RM329.15 juta pada 2014.

TAGS