Petronas raikan kejuaraan kelima kejohanan pengeluar formula satu dunia

Petronas raikan kejuaraan kelima kejohanan pengeluar formula satu dunia

Petronas meraikan kejuaraan kelimanya  bagi kategori pengeluar dalam Kejohanan Formula Satu (F1) FIA bersama pelumba Mercedes-AMG Petronas Motorsport, Valtteri Bottas di Menara  Kembar Petronas di sini hari ini.

Bottas berada di sini selepas melengkapkan ujian terakhir tahun ini di Abu Dhabi untuk memberi penghargaan kepada Petronas, yang telah memainkan peranan penting bagi memastikan Mercedes membawa pulang  satu lagi kejohanan dunia berganda F1 tahun ini.

Pasukan Silver Arrows itu meraih gelaran Juara Pengeluar di Brazil untuk muncul sebagai pasukan kedua di dalam sejarah sukan itu yang memenangi lima kejuaraan berganda berturut-turut selepas Lewis Hamilton merangkul gelaran juara dunia bagi kategori pelumba di Mexico, menyamai rekod Ferrari antara 2000 hingga  2004.

“Teknologi Petronas adalah amat penting untuk jentera yang menakjubkan, kami beruntung berlumba dalam tahun ini  dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang di Petronas kerana dedikasi dan kerja keras mereka yang menyumbang kepada kedua-dua kejuaraan, “ kata Bottas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah kepada Mercedes-AMG Petronas Motorsport  dengan  kejuaraan   kelima  berturut-turut Kejohanan Pengeluar Dunia.

“Kami bangga menjadi rakan kongsi utama dalam peristiwa penting ini yang mengetengahkan  penyelesaian  teknologi bendalir Petronas yang dijadikan formula kepada bahan api dan pelincir kereta juara FI serta menyumbang satu lagi kejayaan bersama Mercedes-AMG.

Selaku penaja dan rakan teknikal, Petronas bekerja rapat dengan pasukan itu untuk menghasilkan bahan bakar yang efisien, pelincir dan cecair yang mempunyai fungsi untuk operasi jentera.

Sejak pengenalan unit kuasa hibrid dalam 2014, Petronas dan Mercedes telah memenangi lima kejuaraan dunia berganda, ditambah dengan 74 kemenangan Grand Prix dalam 100 perlumbaan setakat ini. Dalam tempoh yang sama, pasukan itu berjaya memperoleh 84 petak utama dan memenangi 221 piala.

— BERNAMA