
Petronas sahkan disaman kerajaan Sarawak
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kerajaan Sarawak dan pengawal cukai jualan negeri itu memfailkan saman terhadapnya atas dakwaan gagal membayar cukai jualan.
“Petronas mengesahkan bahawa pengawal cukai jualan negeri Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak telah memfailkan tindakan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching pada 21 Nov, 2019, kerana tidak membayar cukai jualan Sarawak ke atas produk petroleum,” menurut syarikat minyak nasional itu dalam kenyataan.
Kenyataan Petronas dikeluarkan empat hari selepas kerajaan Sarawak mengumumkan saman tersebut.
Jumlah yang dituntut daripada Petronas tidak disebut sama ada dalam kenyataan beliau mahupun kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan oleh Petronas hari ini.
Cukai jualan negeri sebanyak lima peratus dikenakan pada 1 Januari tahun ini dan Petronas dikatakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri itu yang belum membayar cukai jualan tersebut.