Malaysia Dateline

Petronas sumbang tujuh katil kepada hospital di Sarawak

Zulaihi menyerahkan dua unit katil ICU di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Yayasan Petronas telah menyumbangkan tujuh buah katil di unit rawatan rapi (ICU) kepada hospital-hospital di Sarawak bagi membantu dalam rawatan pesakit Covid-19.

Dua daripada katil itu masing-masingnya diserahkan kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri manakala Hospital Sarikei, Sibu dan Bintulu masing-masing menerima sebuah katil.

Menurut Ketua Petronas Sarawak, Zulaihi Mantali, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan RM20 juta Yayasan Petronas untuk bekalan dan peralatan perubatan yang diumumkan pada 23 Mac lalu.

Jelas beliau, sumbangan adalah dijalankan secara berperingkat dengan kolaborasi Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Petronas sentiasa melakukan yang terbaik dalan membantu hospital di Sarawak berdepan cabaran mengekang Covid-19 dan ini adalah selari dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bagi memperbaiki kesejahteraan komuniti.

“Selain peralatan perubatan, Petronas turut menghulurkan bantuan kepada pihak penguatkuasa dan menyumbang makanan serta kad hadiah kepada isi rumah yang layak bagi membantu mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, awal April lalu, Petronas dan anak syarikatnya Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) dan ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd (ABF) telah menyumbang makanan kepada 4,200 isi rumah B40 di Kuching, Samarahan, Serian dan Bintulu.

Sebagai tambahan, MLNG dan Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas juga menyumbang penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan, sarung tangan getah dan air mineral kepada lebih 1,000 barisan hadapan kesihatan dan penguatkuasa di Bintulu.

Selain itu, Petronas juga menerusi MLNG, Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Oil, Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas menyumbang alatan pensanitasi dan kimia bernilai RM24,000 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengurang penularan Covid-19 di bandar dan pekan utama di negeri ini.

Malah, Petronas juga menyumbang 2,000 penutup mulut dan hidung kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) pada 24 April lalu.