Petronas tidak berhentikan pekerja bawah usia 35 tahun

Petronas tidak berhentikan pekerja  bawah usia 35 tahun

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak berhasrat memberhentikan kakitangannya yang berumur 35 tahun ke bawah.

Naib Presiden Pusat Kecemerlangan Petronas, Neil Horbachewski berkata, ini memandangkan jumlah mereka membentuk 55% daripada jumlah keseluruhan kakitangan.

Katanya, syarikat itu belajar daripada pengalaman lalu apabila bekas kakitangan berkemahiran berhenti untuk menyertai syarikat minyak dan gas lain di seluruh dunia.

“Petronas pernah melakukan tindakan ini 15 tahun lalu ketika ia melalui perubahan yang teruk.

“Ramai kakitangan meninggalkan syarikat kerana ia tidak kompetitif, jadi Petronas kehilangan banyak kakitangan dengan pengalaman tertentu,” katanya pada Persidangan dan Pameran Teknologi Gerudi Asia Pasifik IADC/SPE di Singapura, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Petronas akan memastikan bilangan kakitangan seminimum mungkin susulan industri minyak dan gas yang merudum.

“Jumlah kakitangan yang diberhentikan minimum kerana pihak pengurusan tahu kelembapan ini tidak akan kekal selamanya dan kami perlu mengekalkan pembangunan keupayaan kami,” katanya.

Selain itu, Neil berkata, keperluan untuk mengekalkan bakat tertentu tidak terhenti hanya pada pengeluar minyak dan gas, tetapi sehingga ke syarikat perkhidmatan kerana langkah itu dapat menjadikan industri itu lebih baik.

“Dalam hal ini, pengeluar memerlukan beban asas modal tertentu untuk dibelanjakan yang membolehkan industri terus berinovasi.

“Kalau tidak, kita terpaksa berdepan dengan pengaruh di luar sana cuba mempengaruhi anak muda di universiti dengan mengatakan industri minyak dan gas tempat yang buruk.

“Kami juga tidak perlu menyokong pandangan itu untuk mereka yang sudah 10-15 tahun bekerja dalam industri dan beritahu mereka perlu cari tempat lain. Saya gembira kami terus mengekalkan kakitangan ini,” katanya.

Pada awal tahun ini, Petronas memberhentikan 1,000 kakitangan susulan semakan strategik yang dilakukan syarikat itu sebagai respons kepada kelembapan industri, di mana harga minyak jatuh separuh daripada nilainya sejak pertengahan 2014.

Syarikat itu mempunyai kira-kira 51,000 kakitangan pada penghujung 2014.