Malaysia Dateline

Petugas kesihatan Hospital Umum Sarawak akan disaring secara besar-besaran

Petugas Kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) akan disaring secara besar-besaran bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing memberitahu, hasil daripada pemeriksaan atau saringan tersebut, mereka akan dapat mengenal pasti kes yang melibatkan petugas kesihatan di HUS.

Katanya, daripada 11 kes positif Covid-19 direkodkan di Sarawak semalam, lapan adalah terdiri daripada petugas kesihatan yang mana tujuh dari HUS sementara seorang dari Jabatan Kesihatan Bahagian Samarahan.

“Ini adalah hasil daripada penyaringan yang kita kendalikan bersama kakitangan perubatan dan telah mengenal pasti semua kes ini.

“Hasil daripada pemantauan, kebanyakan kes di HUS adalah tidak bergejala, maka kita perlu mengendalikan penyaringan dan pemeriksaan besar-besaran ini memungkinkan kita menangani kes-kes tersebut,” ujar beliau pada sidang media, hari ini.

Jelas beliau lagi, setakat ini pihaknya hampir mencapai semua kakitangan berkaitan bagi menjalani pemeriksaan saringan terbabit dan diharapkan mampu memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan petugas di HUS.

“Bagi petugas yang didapati positif, mereka akan terus dirawat manakala kontak kepada mereka terus giat dikesan,” katanya lagi.