Malaysia Dateline

Petugas kesihatan menggigil penat enam jam tanpa henti saring Covid-19

Petugas kesihatan terduduk keletihanmenyaring 400 pelajar dari Kaherah.

Menempuh bulan Ramadan dalam keadaan negara berhadapan ancaman wabak Covid-19, petugas kesihatan barisan hadapan tidak pernah berundur membantu kerajaan dan rakyat Malaysia untuk sama-sama melepasi fasa getir ini.

Perit untuk dibayangkan bagaimana pengorbanan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik tersebut ketika negara mencatat lebih 300 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan positif Covid-19.

Satu catatan Facebook Nurul Nadirah menceritakan keadaan terkini para petugas yang sudah mula kelelahan dan menggigil menjalankan tugas mereka biarpun seawal minggu pertama berpuasa.

Pada hari pertama sahaja, barisan hadapan menerima sebanyak 20 buah bas dinaiki pelajar dari Kaherah, Mesir yang memulakan kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin, Hotel Ibis KLCC, Kuala Lumpur.

Katanya, pendaftaran tanpa henti melibatkan 400 pelajar itu berlangsung selama enam jam.

“Awal pagi semua bertenaga, beralih petang seorang demi seorang rebah dengan full PPE (peralatan perlindungan diri).

“Badan makin lemah, ada yang dah muntah, ada yang hampir pitam, ada yang badan dah menggigil. Bukan mudah nak lalui perjalanan ini. Aku pun dah lemah di celah mesin fotostat,” tulisnya.

Luahan barisan hadapan melalui ujian pada hari pertama puasa itu mendapat perhatian dan kata-kata semangat rakyat Malaysia yang simpati dengan pengorbanan mereka.

Tambah Nadirah lagi, itulah dugaan pada awal Ramadan yang perlu ditempuhi untuk negara.

“Bukan mudah lalui perjalanan ini,” luahnya.

Sebanyak 20 unit bas membawa pelajar yang memulakan kuarantin di Hotel Ibis KLCC, Kuala Lumpur.

‘Air mata kami semuanya disia-siakan’

Pada masa sama, rakyat Malaysia juga mula menyebarkan satu petisyen yang menyokong agar pegawai perubatan kontrak diserap dalam jawatan tetap berbanding arahan meminta untuk memperbaharui kontrak mereka.

Dalam satu bantahan di laman change.org oleh Pegawai Perubatan Kontrak yang berkhidmat di Luar Bandar Sarawak, petisyen berkenaan mendapat hampir 14,800 sokongan dari sasaran sebanyak 15,000.

“Sebilangan besar daripada kami baru sahaja menerima e-mel yang meminta memperbaharui kontrak kami sebagai UD41.

“Gred gaji pekerja houseman dengan tanggungjawab Pegawai Perubatan walaupun kami berjaya melengkapkan latihan sebagai houseman.

“Sepanjang dua tahun kerja keras kami, air mata kami semuanya disia-siakan. Kami kini bekerja tanpa keselamatan pekerjaan.

“Tiada jaminan dan manfaat seperti rakan pegawai perubatan tetap yang lain dan tidak pasti dengan perjalanan kerjaya kami,” tulis petisyen itu.