Malaysia Dateline

Petugas kesihatan sayu melihat tingkah laku jemaah tabligh

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang awam agar tidak menyalahkan jemaah tabligh dalam peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Malah, beliau juga turut menasihatkan agar mana-mana pihak tidak mendiskriminasikan golongan berkenaan.

Selepas Ketua Pengarah sendiri bersuara, kini petugas kesihatan wad Covid yang hari-hari memantau tahap kesihatan mereka pula, menceritakan situasi sebenar di dalam wad itu.

Menurut seorang petugas kesihatan di salah sebuah hospital, apabila melangkah masuk ke wad pesakit Covid-19, suasananya tidak ubah seperti di dalam masjid.

“Kebanyakan semua berjubah.. ada yang berkopiah dan beserban.. semua tersenyum je.. malah tiada muka yang berkerut dan marah.

“Semua cakap lembut-lembut.. macam mana tak tersentuh hati ini.. tangan masing-masing juga dilihat memegang tasbih.

“Turut kelihatan ada pesakit yang solat sunat, berzikir malah ada yang mengaji al-Quran.. rasa simpati sangat-sangat.”

Itulah luahan seorang petugas kesihatan yang menyaksikan sendiri suasana ‘masjid’ walaupun sebenarnya sedang berada di wad hospital.

Menurut petugas kesihatan itu lagi, jemaah tabligh itu sememangnya golongan yang rajin membantu.

“Wad ini baru sahaja dibuka.. banyak yang kurang, tetapi mereka tak marah.

“Malah, cakap pun baik-baik.. siap tanya lagi.. ada apa-apa lagi ‘nurse’ yang kami boleh tolong?

“Kadang-kadang hati ini terfikir kenapa Tuhan tak gantikan mereka dengan manusia yang jahat-jahat di muka bumi seperti kaki minum, kaki judi dan yang songsang,” luahnya.

Dalam masa sama, petugas kesihatan yang berasa sayu dengan suasana itu, turut mengakui air matanya menitis.

“Tahu tak dalam wad Covid itu, semunya orang yang ilmu agamanya tinggi.. mereka mengaji, solat berjemaah, bertasbih dan azan.

“Merdunya suara, lunak sampai tersentuh hati ini. Kalaulah hilang orang yang beragama, apa yang jadi kepada dunia ini..

“Mereka langsung tidak menyusahkan.. smuanya sangat-sangat baik.. sudah-sudahlah mengecam mereka,” rayu beliau kepada masyarakat.