Para petugas pilihan raya dan juga media di Ayer Kuning mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memperkuatkan liputan siaran internet di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Ini kerana, selepas menghadapi masalah menjalankan tugas kerana kapasiti internet yang lemah sebelum dan pada awal hari penamaan calon, ia telah berjaya diatasi selepas campur tangan SKMM.
“Alhamdulillah, internet di sini baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, takda sangkut-sangkut,” kata Wan Zahari Wan Salleh yang membuat liputan di hari penamaan calon di PRK Air Kuning.
Sementara itu, petugas pilihan raya yang datang ke sini juga memaklumkan, isu internet tidak berbangkit sangat di kawasan ini.
“Liputan internet ok je kat sini kecuali kawasan luar sikit adalah sangkut-sangkut,” kata Shahril Muhamad petugas PH dari Kuala Lumpur.
Sebelum ini Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegur mengenai masalah liputan internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam DUN Ayer Kuning.
Atas teguran itu, SKMM telah mengambil tindakan pantas mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi memastikan liputan internet berada pada tahap memuaskan.
Beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan, termasuk:
i. Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah;
ii. 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning;
Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan
iv. Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.
Ketika ini, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.
Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara; dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.
Baca juga: Makin ramai anak muda pilih tinggal di hotel kerana rumah sewa makin mahal