Petugas misi bantuan banjir diingat utamakan aspek keselamatan

Petugas misi bantuan banjir diingat utamakan aspek keselamatan

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Anuar Tahir hari ini mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan banjir supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, walau di mana sekali pun mereka berada.

Ingatan itu dibuat ekoran insiden bot terbalik melibatkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Bendahari Agung AMANAH, Asmuni Awi serta tiga yang lain, tengah hari tadi.

Walau bagaimanapun katanya, beliau amat bersyukur kerana semua yang terlibat dalam insiden tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan beliau berdoa agar peristiwa seperti itu tidak akan berulang lagi.

“Begitu juga kepada petugas yang sedang dan akan turun menghulurkan bantuan supaya berhati-hati di jalan raya dan pastikan keadaan fizikal dan kenderaan dalam keadaan baik.

“Berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu, tentu sekali proses menyalurkan bantuan di lapangan agak rumit,” kata beliau dalam satu kenyataan petang tadi.

Beliau yakin dengan kesungguhan dan semangat membantu para ahli dan penyokong AMANAH, segala urusan bantuan kepada mangsa banjir dapat dilakukan dengan baik.

“Sejak semalam, khususnya selepas arahan segera Presiden Tn Hj Mohamad Sabu, saya mendapat maklum balas positif daripada semua pihak tentang gerak kerja pasukan petugas AMANAH.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada seluruh petugas AMANAH di semua peringkat khususnya pasukan ARiF yang telah menjalankan tugasan dengan baik.

“Tidak ketinggalan juga penyelarasan gerak kerja bantuan oleh Biro Kebajikan, Kemanusiaan dan Bencana Alam Nasional yang diketuai Naib Presiden Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus.

“Kerja-kerja murni ini perlu diteruskan sehingga mangsa banjir yang terlibat dapat dibantu seadanya dan keadaan banjir pulih sepenuhnya,” kata beliau.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0