Malaysia Dateline

Tan Sri Dr Rais Yatim

Pewartaan jawatan kabinet perlu dipercepat, gesa Rais Yatim

Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Jabatan Peguam Negara digesa mempercepatkan pewartaan jawatan anggota kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang belum diwartakan setakat ini.

Gesaan itu disuarakan oleh bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr Rais Yatim yang memaklumkan, jika jawatan anggota kabinet tidak diwartakan, maka ia akan menjadi tidak selaras dengan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Beliau berkata, dari segi perlembagaan jawatan tersebut adalah sah, tetapi di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 ianya tidak sah.

“Justeru, pewartaan jawatan anggota kabinet PH perlu dibuat di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969. Akta itu menjurus kepada tanggungjawab dan juga fungsi-fungsi tertentu menteri yang dilantik.

“Mungkin mereka terlepas pandang atau pun tidak meneliti fakta pelantikan masing-masing yang telah dibuat menerusi Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 tidak menyebut mengenai pewartaan, tetapi amalan setiap kali seseorang menteri dilantik, maka beliau hendaklah didaftarkan di bawah kuat kuasa Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

“Dari segi sah atau tidak, perkara itu tidak timbul kerana Perkara 43 setelah dilaksanakan, maka sah seseorang menteri itu dilantik,” katanya.

Beliau mengulas demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini berhubung isu jawatan anggota kabinet kerajaan PH yang belum diwartakan setakat ini.

Dalam perkembangan sama, Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (2009 hingga 2013) berkata, sekiranya perkara ini (pewartaan) terlepas pandang, ianya masih boleh diperbaiki dan Jabatan Peguam Negara boleh membantu supaya pewartaan dibuat.

“Setahu saya, pelantikan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sahaja yang telah diwartakan… menteri-menteri lain tidak diwartakan.

“Jika tidak dikhususkan jawatan dan tanggungjawab, maka kekeliruan mungkin timbul dalam menjalankan tugas di bawah portfolio masing masing,” ujar Rais lagi.

Baru-baru ini di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong memaklumkan kepada sekumpulan wartawan ketika sesi temu bual bahawa, jawatan anggota kabinet kerajaan PH belum diwartakan setakat ini.

Liew yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang memberitahu, kerajaan sudah membincangkan isu berkenaan, namun masih menunggu untuk ia diwartakan.

Semakan pada Warta Kerajaan Persekutuan menunjukkan, selepas kerajaan bertukar daripada Barisan Nasional (BN) ke PH hasil Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, hanya jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang diwartakan setakat 22 Mei tahun lalu.