Malaysia Dateline

PFA rayu pembatalan beraksi dalam Liga Malaysia

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) hari ini mengemukakan rayuan kepada lembaga Liga Bola sepak Malaysia (MFL) untuk kembali beraksi dalam kancah bola sepak negara.

Timbalan Presiden PFA Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan mengetuai delegasi pegawai persatuan itu ke pejabat MFL pada Selasai untuk menyerahkan surat rayuan berserta dokumen sokongan kepada Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik.

“Keputusan rayuan dijangka diketahui selepas dua hari dan saya berharap MFL memberi peluang kepada kami,” kata Mohd Abdul Karim Khan kepada Bernama.

Selain beliau, delegasi itu turut dianggotai Naib Presiden 1 Isma Shuhaimi Sharif; Penolong Setiausaha Agung Naimulddin Haron; Bendahari Mohd Noor Mohd Akhir; dan peguam PFA Mohd Hafiz Zainol Abidin.

Baru-baru ini MFL sebulat suara bersetuju membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 setelah dokumen kewangan yang diserahkan PFA pada 18 Feb lepas mendapati sumber pendapatannya tidak cukup untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Mengenai laporan polis oleh bekas pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) di Balai Polis Kangar semalam yang mendakwa Mohd Abdul Karim Khan menyeleweng wang mereka, timbalan presiden PFA itu menafikan wujud penyelewengan itu dan akan membuat laporan polis agar siasatan lanjut dijalankan.- BERNAMA