Malaysia Dateline

PFA tuntut RM3 juta daripada bekas presiden

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah mengeluarkan tuntutan saman lebih RM3 juta terhadap bekas presidennya Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafaie.

Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas Presiden, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata tuntutan saman yang dikeluarkan pada 18 Mac lalu dibuat berikutan kerosakan dan imej buruk yang dibuat oleh Ahmad Amizal Shaift.

“Perkara terburuk yang dilakukan oleh beliau (Ahmad Amizal Shaifit) sehingga PFA disingkirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk beraksi dalam Liga Premier 2019,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Pasukan Piala Belia dan pasukan Piala Presiden turut menerima tempias yang sama tidak dibenarkan beraksi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran kemelut yang melanda Singa Utara, katanya.

Mohd Abdul Karim Khan berkata bekas presiden itu diberi tempoh masa 14 hari iaitu sehingga 9 April ini bagi menjawab tuntutan tersebut dan jika gagal tindakan saman akan dikeluarkan kerana telah melanggar syarat perjanjian penajaan kepada PFA.

Dalam pada itu, PFA juga tidak menolak untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada April depan bagi memilih presiden baharu yang mampu menerajui pasukan itu.

“Kita akan pilih presiden baharu dan mampu menyelesaikan tanggungan hutang PFA mengjangkau RM4 juta. Bila semuanya dah selesai FAM dan MFL akan membenarkan PFA beraksi semua dalam Liga Malaysia,” katanya.

Pada 20 Mac lepas, Naib Presiden 1 PFA, Ismasuhaimi Shariff telah menghadap Raja  Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menjelaskan segala kemelut yang melanda pasukan itu.

Baginda juga mahu PFA menjadi badan bola sepak yang akan menguruskan sukan bola sepak di negeri ini dan mengadakan Liga Bola Sepak Perlis bermula dari peringkat akar umbi.

Tuanku Syed Faizuddin juga turut memberi sokongan penuh kepada PFA membina semula struktur kepimpinan baharu.

— BERNAMA