Malaysia Dateline

PGSM tubuh jawatankuasa, menguatkuasakan Akta Profesion Guaman Syarie Wilayah Persekutuan

Satu jawatankuasa yang terdiri daripada 20 ahli telah ditubuhkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), bertujuan menguatkuasakan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 (Akta PGS 2019).

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, ahli jawatankuasa tersebut antaranya terdiri daripada beliau sendiri iaitu sebagai Pengerusi, manakala Timbalan Pengerusi (Fakhrul Azman Abu Hassan), wakil Pejabat Peguam Negara, wakil Penasihat Undang-Undang Jakim dan Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dibahagikan kepada 10 Jawatankuasa Pelaksana (kecil) yang bertanggungjawab menyediakan deraf antaranya Kaedah Penerimaan Masuk, Kaedah Tatacara Mesyuarat Badan Peguam Syarie, Kaedah Kawal Selia Amalan dan Kaedah Pembukaan serta Penyimpanan Akaun.

“Jawatankuasa ini diwujudkan berdasarkan kepada amanah Menteri yang bertanggungjawab terhadap Akta PGS 2019, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof melalui surat bertarikh 27 Ogos 2019 yang memberikan amanah kepada PGSM untuk menubuhkan jawatankuasa.

“Selain itu, kami juga berperanan untuk mencadangkan tarikh penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, dan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan bagi menguatkuasa Akta berkenaan berserta pelan rancangan dan garis masa bagi pelaksanaan setiap perkara tersebut.

“Jawatankuasa ini akan menjalankan fungsinya dari semasa ke semasa sehingga Akta PGS 2019 tersebut dikuatkuasakan, serta akan melaporkan terus kepada Menteri yang berkenaan mengenai perjalanan jawatankuasa dan perkembangan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Dewan Negara pada 31 Julai lalu meluluskan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang antara lain bagi mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah Persekutuan.

Akta Profesion Guaman Syarie yang diluluskan merupakan era baharu amalan profesionalisme peguam syarie di negara ini.

Jelas Dr Mujahid Yusof, akta tersebut bakal memberi kebaikan menyeluruh selaras prinsip ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’.

Menurutnya, kewujudan Akta Profesion Guaman Syarie tersebut juga ke arah memperkukuh sistem perundangan syariah negara.