Malaysia Dateline

PH akan dapatkan senarai daftar pemilih terkini pengundi daripada SPR

Pakatan Harapan (PH) akan berusaha untuk mendapatkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan senarai semakan daftar pemilih yang terkini dan tepat menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan SPR yang tidak lagi menyerahkan salinan dalam bentuk buku dan cakera padat salinan RDPT kepada parti-parti politik adalah satu tindakan luar biasa yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Kita diberitahu bahawa senarai ini tidak boleh diberi kepada part-parti politik.

“Ini luar biasa. Dulu bila-bila kita nak senarai terkini pengundi kita boleh dapat.

“Ini suatu usaha yang boleh menidakkan hak pengundi untuk mengundi.

“Kita akan ambil tindakan secara tersusun untuk dapatkan senarai ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan di ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling jaya hari ini.

Sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH ini turut dihadiri Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail TImbalan Presiden Mohamad Sabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng serta ahli-ahli majlis presiden PH.

Menurut Pengerusi Bersatu ini lagi, bagi menentukan senarai semakan yang tepat dan betul parti-parti politik perlu mendapatkan senarai terakhir RDPT daripada SPR.

“Terdapat kesalahan dalam senarai ini. Nama yang sama 900 kali. Seramai 3.9 juta pengundi yang tidak punyai alamat penuh.Kita juga dapati ada rumah yang diduduki 11 hingga 15 orang dan lain-lain kesalahan yang terdapat dalam senarai daftar pemilih ini”Untuk tentukan senarai semak yang betul sama yang ada kepada SPR kita perlu dapatkan senarai yang terakhir daripada SPR.

“Kita akan dekati SPR dan bagi senarai ini dan ada beberapa lagi perkara yang ingin kita tanya kepada SPR,” ujarnya.

Sebagai rekod SPR telah mengeluarkan arahan kepada pengarah-pengarah Pilihan Raya Negeri untuk pemberhentian pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik semasa Pameran RDPT dijalankan.

Mesyuarat SPR Kali Ke-773 pada 28 Mac tahun lalu telah memutuskan agar Rang DPT (buku dan cakera padat) tidak lagi diedarkan kepada parti-parti politik mulai Pameran Rang DPT Suku Tahun Pertama Tahun 2017.