Malaysia Dateline

PH akan guna salah satu logo parti dalam gabungan hadapi PRU14

Pakatan Harapan (PH) tetap akan mengunakan salah satu logo daripada empat parti dalam gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan bersama itu diambil sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak memberikan kelulusan terhadap pendaftaran PH.

“Kita parti dalam Pakatan Harapan akan mengunakan satu logo sahaja dalam PRU14. Sama ada RoS lulus atau tidak logo Pakatan Harapan, kita akan tetap guna satu logo sahaja dalam PRU akan datang.

“Ini keputusan bersama,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat mingguan Majlis Presdien di Ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya hari ini.

Ditanya logo parti mana yang akan digunakan kelak bagi mewakili calon Pakatan Harapan beliau enggan mendedahkan.

“Kita belum boleh isyhtihar lagi logo parti mana.

“Kita boleh guna salah satu logo daripada empat parti melainkan RoS meluluskan logo PH tetapi Ros begitu takut dengan kita sehingga tidak dapat untuk meluluskan logo hingga hari ini.

“Untuk guna satu logo kita kenalah guna satu daripada logo parti, tetapi parti yang mana kita belum tetapkan.

“Jika parti itu bersetuju logonya digunakan parti lain dalam pakatan harapan parti itu kena bagi kebenaran kepada siapa yang nak guna simbol partinya,” terangnya.

Pada Ahad  Dr Mahathir dalam ceramahnya di  Alor Gajah Melaka,  berkata, kemungkinan PH tidak akan mengunakan logo parti gabungan  sekiranya RoS tidak meluluskan permohonan gabungan itu.

Dr Mahahir yang juga Pengerusi Bersatu pada Jelajah PH di Melaka itu  dipetik berkata, jika PH bertanding atas tiket parti komponen dengan logo masing-masing, rakyat akan keliru.

Sekiranya PH tidak mempunyai logo ketika bertanding pada pilihan raya umum akan datang, diharapkan, rakyat dapat mengenali empat parti yang berada dalam komponen PH ini yang terdiri daripada PKR, AMANAH, Bersatu dan DAP.

Baca: Pakatan Harapan mungkin tidak guna logo sama