Malaysia Dateline

PH akan kemuka petisyen MP sokong sidang Parlimen sebelum 1 Ogos kepada Agong

Pakatan Harapan (PH) akan mengusahakan petisyen dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan majoriti Ahli-Ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohama Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga bersedia menyertai jawatankuasa Parlimen hybrid dengan syarat sidang Parlimen tetap diadakan secepat mungkin, sebelum 1 Ogos.

“Majlis Presiden berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen,” katanya.

Majlis Presiden mengulangi pendirian selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang Ahli-Ahli Parlimen.

“Pada masa yang sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik COVID-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini,” katanya.