Malaysia Dateline

PH akan perkenal Akta Anti Lompat selepas kembali mentadbir

Akta Anti-Lompat akan diperkenalkan sekiranya Pakatan Harapan kembali mentadbir, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, isu wakil rakyat yang melompat parti ketika ini menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia yang menyamakan dengan konsep jual dan beli pemain pasukan bola sepak.

“Persoalan undang-undang yang melarang lompat parti itu akan kita perkenalkan.

“Perkara ini dah jadi bahan lawak. Mereka kata tak lama lagi parti politik dah boleh jadi macam pasukan bola sepak, boleh jual pemain. Kamu nak bentuk kerajaan, kamu beli ahli Parlimen tapi parti lah dapat duit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membincangkan ‘Isu Lompat Parti dan Pembubaran Dun Sabah’, di Facebook rasmi Jom Channel semalam.

Bagaimanapun beliau menegaskan, undang-undang itu kelak tidak akan menyekat sehingga tiada cara keluar bagi individu yang memilih meninggalkan parti sekiranya mereka mendakwa parti tersasar dari hala tuju sebenar.

“Kita perlu pertimbangkan sekiranya tindakan dia atas dasar kehendak pengundi dan bukan satu pengkhianatan terhadap mandat pengundi dia.

“Di situ kita perlu menentukan undang-undang yang kita buat nanti tidak menyekat sampai ke tahap tak ada cara jalan keluar yang terhormat,” katanya lagi.

Sementara itu, ia turut disokong peguam Haniff Khatri yang berkata, konsep keluar parti perlu dilihat secara menyeluruh sama ada ia memberi impak kepada parti lain.

Beliau memberi contoh keputusan keluar parti yang dilakukan Bersatu sehingga akhirnya Pakatan Harapan kehilangan majoriti sokongan dan menyebabkan jatuhnya pentadbiran PH.

Jelasnya, apabila seseorang wakil rakyat memilih untuk berniat jahat dan melakukan kecurangan, kesannya terhadap mandat rakyat perlu dilihat semula lebih-lebih lagi jika menyebabkan pihak yang tewas dalam pilihanraya menjadi kerajaan, dan gabungan yang menang menjadi pembangkang.

“Di situ ada garis nipis perlu dilihat. Untuk selesaikan masalah ini, penggubalan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan perlu dilihat semula.

“Garis kecil ini mesti diteliti supaya dalam keghairahan menyelesaikan masalah, kita jangan memunculkan masalah lain,” ujarnya.