Malaysia Dateline

PH akan perkukuh konsep ‘Khemah Besar’

Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.

Pendirian itu selaras dengan Ketetapan Port Dickson pada 9 April lalu dalam usaha untuk menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang.

“Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dikalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara,” menurut kenyataan Majlis Presiden PH hari ini.

Kenyataan bersama PKR, AMANAH dan DAP itu juga menyatakan kebimbangan terhadap masalah rakyat pada masa ini ekoran pandemik Covid-19.

“Isu penularan wabak Covid-19 terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi, di samping usaha pemberian vaksin yang perlu dipertingkat.

“PH turut risau akan masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi,” ujar kenyataan itu.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini mengulangi komitmen bahawa blok tersebut sebagai gabungan politik akan diperkukuh, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi.

“Segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat,” dipetik kenyataan itu lagi.