PH akan pertahankan 30 Dun, 10 Parlimen di Pulau Pinang

PH akan pertahankan 30 Dun, 10 Parlimen di Pulau Pinang

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan memastikan 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 10 kerusi Parlimen tidak jatuh ke tangan pembangkang Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum(PRU) ke 14 nanti.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika majlis memperkenalkan calon PH Pulau Pinang serta pelancaran manifesto PH Pulau Pinang di Georgetown semalam.

Jelas beliau lagi, rakyat negeri ini dingatkan supaya tidak leka dan lalai kerana BN akan menggunakan apa jua tipu helah bagi merampas kembali Pulau Pinang.

“Kita harus pertahankan 30 kerusi Dun dan 10 kerusi Parlimen bagi memastikan kerajaan PH terus menerajui kepimpinan negeri ini.

“Malah bukan saja menang di Pulau Pinang tetapi juga di Putrajaya.

“Kerajaan yang ingin diwujudkan oleh PH adalah sebuah kerajaan yang menepati janji serta yang berorientasikan rakyat, ” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata kerajaan yang bekerja untuk rakyat dan mendengar suara rakyat serta memberikan harapan kepada rakyat adalah janji PH.

“Sebanyak 68 janji dalam Manifesto PH Pulau Pinang akan membawa kejayaan bersama, ini termasuklah mewujudkan Transit Aliran Ringan (LRT) yang hubungkan Pulau dan Seberang Perai.

“Mewujudkan demokrasi perumahan dengan memperbanyakkan rumah untuk semua.

“Disamping itu kita turut ingin melahirkan tenaga kerja terlatih mengikut piawaian bertaraf dunia dan mengutamakan warga tempatan dan bukannya warga asing, ” tegas beliau lagi.

Antara kandungan dalam janji PH Pulau Pinang kali ini adalah menghadkan jawatan Ketua Menteri hanya kepada dua penggal sahaja.

Mempertingkatkan syiar Islam, meneruskan usaha menjaga Sekolah Agama Rakyat maupun Sekolah Ibunda.

Juga dinyatakan ialah bantuan kos sara hidup sebanyak RM1000 setahun untuk kaum wanita yang berpendapatan kurang RM2000 sebulan.

Selain itu ia juga mensasarkan untuk membina 75,361 buah rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik menjelang tahun 2025 yang akan datang.

Menuju ke arah negeri yang berkebajikan serta negeri hijau yang pertama dalam negara ini adalah antara beberapa lagi janji yang terkandung dalam manifesto kali ini.

Manakala golongan orang kurang upaya dan warga emas akan ditingkatkan sumbangan setahun sebanyak RM200 oleh kerajaan negeri.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS