Malaysia Dateline

PH akan pertimbang jika kerajaan PN mahu lantik Dr Dzulkefly Menteri Kesihatan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan memberikan pertimbangan yang positif sekiranya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diminta kembali menjadi Menteri Kesihatan untuk mengetuai usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menurut laporan Malay Mail, dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan bahawa dalam waktu kritikal ini, negara memerlukan “profesionalisme, keseriusan dan kewibawaan” dalam usaha memerangi Covid-19.

Tambah beliau saat ini bukan masa untuk “pelawak” memimpin usaha nasional bagi memerangi penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam mencadangkan rakyat Malaysia supaya minum air suam bagi membuang virus dari kerongkong dan seterusnya dimusnahkan di dalam perut yang berasid, menurut laporan itu.

Kenyataan Menteri Kesihatan itu menjadi persoalan dan dipertikaikan banyak pihak termasuk pengamal perubatan.