PH akan selesaikan isu logo, manifesto dan calon bersama tidak lama lagi

Oleh BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan dijangka akan membuat keputusan bersama tentang penggunaan logo, manifesto dan calon pilihan raya umum ke 15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang berucap dalam Majlis Makan Malam Amal AMANAH malam tadi berkata, beliau yakin ketiga-tiga isu bersama ini akan diselesaikan segera.

“Saya yakin, kita akan membuat keputusan bersama tentang logo, manifesto dan calon pilihan raya tidak lama lagi,” kata beliau dalam ucapan itu.

Dengan keluarnya keputusan itu nanti, kebersamaan antara anggota parti Pakatan Harapan dijangka akan bertambah, kata Loke.

Beliau juga sangat berbangga dengan 11 ahli Parlimen AMANAH dan 42 DAP yang kekal bersama PH walaupun ada beberada Adun kedua-dua parti itu telah lompat parti di peringkat negeri.

“Kita yakin dengan adanya Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan oleh Parlimen dan akan dilaksanakan menjelang pilihan raya umum nanti, isu lompat parti tidak akan berulang lagi,” kata beliau.

Akta Anti Lompat Parti adalah antara agenda utama yang ditekankan oleh pemimpin PH ketika mereka mahu menyertai MoU dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri.

Dengan lulusnya akta itu, ia menjadi pencapaian terbesar PH selepas beberapa penyokongnya tidak berapa senang dengan MoU yang dibuat itu.