PH akan tingkat usaha gempur kawasan hitam di Tanjung Piai

PH akan tingkat usaha gempur kawasan hitam di Tanjung Piai

Pakatan Harapan (PH) akan meningkatkan usaha menggempur kawasan-kawasan ‘hitam’ di kawasan Parlimen Tanjung Piai dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen itu 16 Nov ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata bagi mencapai matlamat itu, jentera PH perlu bergerak memberi penjelasan dan maklumat tepat kepada pengundi kawasan berkenaan berhubung tadbir urus dan dasar kerajaan.

“Perlunya rakyat memahami pimpinan kerajaan PH. Saya hendak nyatakan, kita (PH) sebagai kerajaan baharu bukan mudah untuk urus tadbir, kita ada 18 bulan (mentadbir) yang saya boleh rasakan kita cemerlang tetapi kita membawa bebanan lama.

Kita kena bekerja keras untuk memastikan pengundi memahami perjuangan PH, yang kita boleh ketepikan pendapat negatif apabila disebut kerajaan PH,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kenduri Rakyat Bersama Pak Wan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang dan calon PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata beliau dalam masa sama, melihat trend pengundi di Tanjung Piai khususnya di PDM Tenggayun semakin baik dengan semakin menyedari dan memahami pentadbiran kerajaan PH.

“Tenggayun ini ‘hitam’, hari ini saya hendak ‘merahkan atau putihkan’ supaya Karmaine boleh dinobat sebagai pemimpin rakyat di Tanjung Piai.

Kita baru sahaja mentadbir urus kerajaan dalam masa 18 bulan, banyak yang rakyat perlu tahu dari segi kebaikan yang kita bawa. Itu belum nampak jelas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut memohon pihak media supaya lebih berperanan menyalur maklumat dengan tepat dalam memastikan dasar-dasar kerajaan difahami rakyat sekali gus membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan.

— BERNAMA