PH alu-alukan pelaburan, soal keselamatan, undang-undang tiada kompromi

PH alu-alukan pelaburan, soal keselamatan, undang-undang tiada kompromi

Ahli Parlimen Kuantan, Hajah Fuziah Salleh menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan segala bentuk pelaburan asing yang membina ekonomi negara serta memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Namun demikian kata beliau, pada masa sama kita juga ada undang-undang negara yang perlu dipatuhi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertarikh 31 Mei 2018 berhubung syarikat Alliance Steel Sdn Bhd yang didapati telah melanggar undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkidmatan Air 2006.

“Saya tegaskan sekali lagi pendirian saya bahawa segala bentuk pelaburan dialu-alukan, pada masa yang sama kita mesti pastikan tidak ada kompromi walau sedikit pun dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja, serta juga tidak ada kompromi ke atas kelestarian alam sekitar.

“Dalam kes ini jelas pihak Alliance Steel Sdn Bhd telah melanggar undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkidmatan Air 2006. Akta 665. Maka tindakan undang-undang wajar diambil ‘without fear or favour’,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Fuziah, beliau kesal kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak meletakkan mematuhi undang-undang negara sebagai salah satu kepentingan utama terhadap pelabur.

Sebaliknya tambah beliau, BN melindungi salah laku pelabur.

“Saya juga ingin lihat masa depan negara makmur dengan pelaburan asing akan tetapi menggunakan piawaian terbaik, serta amalan terpuji yang di iktiraf badan pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

CATEGORIES