PH, AMANAH digesa atur strategi rakyatkan parti

PH, AMANAH digesa atur strategi rakyatkan parti

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berpendapat sokongan rakyat terutama golongan muda berupaya dikekalkan jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya menteri-menteri AMANAH berjaya menyampaikan dasar dan program secara berkesan.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, AMANAH perlu mengatur strategi merakyatkan parti melalui program-program akar umbi yang menyentuh secara langsung dengan rakyat.

“Misalnya, wujudkan jawatan-jawatan seperti guru agama, sukarelawan dan pekerja-pekerja sosial yang langsung berhubung secara langsung dengan rakyat,” dipetik dari akhbar Mingguan Amanah.

Pada masa sama, ujar Dr. Mazlan, AMANAH perlu fokus kepada orang muda terutama yang baru berjinak-jinak dengan politik serta perbanyakkan program yang menyentuh golongan tersebut.

“Perkasakan cawangan dan merekrut ahli dan kader-kader parti serta gunakan sebaik mungkin peluang yang ada sebagai kerajaan untuk menarik sokongan melalui bantuan atau program,” katanya.

Mengulas lanjut kesan penyatuan Umno-Pas, beliau tidak menolak keutuhan pengaruh AMANAH di kawasan pantai barat dan kawasan Melayu bandar.

“Ini kerana sifat Melayu bandar, mereka memberi respons politik berdasarkan isu-isu yang berlaku,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau mengakui naratif Melayu-Islam berupaya mencetuskan gelombang sokongan orang Melayu untuk menentang PH.

Tambahnya, AMANAH adalah antara parti yang menerima kesan besar dari naratif tersebut kerana parti itu banyak tertumpu di negeri majoriti Melayu yang didominasi oleh Pas.