Malaysia Dateline

PH anggap kenyataan Hamzah pramatang, mustahil

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung jumlah surat akuan berkanun (SD) sebagai pramatang, mustahil dan tidak konklusif.

Menurutnya, PH telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan Barisan Nasional (BN) dan telah membincangkan perkara-perkara utama mengenai kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung PN berkata, blok parti bersama Pas itu sudah mengemukakan SD daripada Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Katanya, SD yang dihantar itu adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.

Saifuddin Nasution Ismail

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pada masa sama, PH mengambil maklum penafian Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung kenyataan mengenai sokongan 10 Ahli Parlimen Umno terhadap Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar.

“Oleh yang demikian, Pakatan Harapan berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai,” katanya lagi.

Baca juga Anwar yakin, PH dan BN akan tubuh kerajaan bersama, terbuka untuk parti Borneo

Baca juga Dina Nadzir alami kecederaan pada pita suara