Malaysia Dateline

PH anggap Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik PN

PH menggesa Mahiaddin meletak jawatan kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai PM.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membidas pendirian Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Menerusi kenyataan bersama blok pembangkang itu, Idrus diingatkan bahawa Mahiaddin sendiri telah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong Presiden Bersatu tersebut.

Sokongan berkenaan, jelas PH, termasuk Presiden Umno yang telah dipersembah kepada Yang di-pertuan Agong pada 29 Februari tahun lalu.

“Maka apabila ketua parti terbesar itu (Umno) mengumum menarik sokongan seperti yang
berlaku sekarang, maka Perdana Menteri telah hilang sokongan asas parti tersebut dan
seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik PN (Perikatan Nasional) daripada mempertahankan keluhuran undang-undang,” menurut kenyataan bersama pimpinan tertinggi PKR, AMANAH dan DAP itu.

Sehubungan itu, ujar kenyataan tersebut lagi, Mahiaddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Idrus berkata buat masa ini, kerajaan PN tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.