Malaysia Dateline

PH anggap PN letak Parlimen di bawah telunjuk eksekutif

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) kesal dengan proses pengguguran Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, bersama timbalannya, Nga Kor Ming.

Menurut PH, situasi yang berlaku semalam menjadikan Malaysia sebagai negara pertama dalam sejarah dalam kalangan negara-negara Komanwel yang menggugurkan seorang Speaker.

Katanya, kerajaan seharusnya lebih demokratik apabila pembangkang meminta untuk sama mengusulkan calon mereka.

Blok politik itu berkata, ini bukanlah satu duluan (precedent) yang membanggakan lebih-lebih lagi apabila proses membahas dan mencalonkan juga dikatakan sebagai tempang.

“Kami berasa kesal dengan perbahasan usul tersebut, di mana hanya empat orang pembahas dibenarkan berbahas dengan masa hanya 10 minit seorang.

“Bagi suatu usul yang bersejarah seperti ini, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar sepenuhnya hujah kedua-dua belah pihak.

“Tambahan pula, selepas usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua, usul menamakan seorang Speaker baharu juga menampakkan sikap kerajaan yang seharusnya lebih demokratik,” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama antara AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR) dan Loke Siew Fook (DAP).

Semalam, pembangkang menyuarakan hasrat untuk turut menamakan calon mereka sebelum usul pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dibentang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh),

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa notis 14 hari diperlukan untuk pencalonan itu dan pembangkang tidak mencalonkan sesiapa dalam tempoh tersebut.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudian membalas dan berkata tempoh 14 hari sepatutnya bermula selepas jawatan Speaker dikosongkan.

Terdahulu, kerusi Speaker dikosongkan selepas PN berjaya memperoleh 111 sokongan yang bersetuju untuk menggugurkan Mohamad Ariff dengan seramai 109 ahli Parlimen yang menolaknya.

Sementara itu, Majlis Setiausaha PH menyifatkan kerajaan ketika ini dilihat mahu meletakkan Parlimen di bawah telunjuk eksekutif.

Dakwanya, hujah pembangkang agar masa 14 hari diberikan untuk menamakan calon juga tidak diendahkan, malah calon Yang Dipertua Dewan juga tidak dipersetujui secara undian di dalam Dewan.

“Parlimen sebagai badan perundangan (legislative) wajib bebas dari sebarang unsur kawalan dari luar.

“Jika Parlimen dikawal pihak eksekutif, maka demokrasi negara dalam keadaan yang amat tergugat,” katanya PH lagi.