Malaysia Dateline

PH bakal sokong Belanjawan 2021

Pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) bakal kembali duduk semeja esok menjelang seminggu sebelum Belanjawan 2021 dibentang.

Difahamkan, PH mengambil keputusan untuk menyokong Belanjawan 2021 selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik berhenti bermain politik dan memberi tumpuan kepada Belanjawan 2021 dalam menangani Covid-19.

Walau bagaimanapun, gabungan parti melibatkan PKR, AMANAH dan DAP itu tidak menyertai sebuah kerajaan perpaduan.

Hal tersebut ditegaskan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengikut laporan Malaysiakini.

Ahli Parlimen Pulai itu memberitahu agenda utama mesyuarat PH esok dijangka “menyokong Belanjawan 2021”.

“Saya fikir kami akan bincangkan (perkara itu) secara menyeluruh, termasuklah apa bentuk kerjasama (dengan kerajaan) …,” katanya.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, PH akan membincangkan semua idea yang dikemukakan tetapi menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan.

“Tapi saya sangat percaya yang kami mahu sokong Belanjawan dan tidak (akan) membincangkan tentang menyertai kerajaan. Tak ada langsung,” katanya.

Semalam, Salahuddin berkata pembangkang sedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri dan membentangkan cadangannya kepada Muhyiddin Yassin, termasuk moratorium pinjaman untuk industri kecil dan sederhana (PKS).

Bekas Timbalan Presiden Pas itu juga menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyediakan peruntukan yang setara untuk semua ahli Parlimen.