PH Baling adakan flashmob protes harga minyak

Oleh MALAYSIADATELINE

Peduli terhadap beban kenaikan harga minyak yang melampau sehingga membebankan rakyat bawahan, Pakatan Harapan (PH) Baling terpaksa mengambil tindakan segera dengan mengadakan protes membantah kenaikan tersebut.

‘Flashmob’ yang turut dihadiri oleh pimpinan PH Baling telah diadakan di Pekan Baling, Kedah, Sabtu lalu itu adalah bagi mempamerkan kesukaran yang dialami rakyat kesan kenaikan bahan bakar tersebut.

Asmirul bersama poster menyeru pengundi menolak BN dalam PRU nanti.

Menurut Ketua Pemuda PH Kedah, Asmirul Anuar Aris, ‘flashmob’ yang diadakan juga membuktikan bantahan PH terhadap kelemahan urus tadbir kerajaan Umno dan BN.

“Kita ingin menunjukkan ketidakpuasan hati kita terhadap kepimpinan Umno dan BN yang amat membebankan rakyat khususnya golongan bawahan.

“Kerajaan yang dipimpin Umno dan BN masih lagi membandingkan harga minyak negara ini dengan negara bukan pengeluar minyak.

“BN sepatutnya membandingkan harga minyak negara ini dengan negara pengeluar minyak yang lain seperti Arab Saudi,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah turut berkata, rakyat bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga minyak, malah kos sara hidup yang amat tinggi kini.

“Majoriti rakyat di Baling adalah penoreh getah yang hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, terpaksa pula menanggung kos kenaikan minyak yang tinggi bikinan kerajaan.

Anggota PH Baling beserta penyokong sewaktu mengadakan flashmob membantah harga minyak Sabtu lalu.

“Kesan daripada situasi tersebut, perbelanjaan mereka semakin meningkat, sedangkan pendapatan mereka semakin menyusut.

“Manakala peluang pekerjaan pula khususnya di Baling dan negeri Kedah amat terhad sehinggakan ramai golongan muda menganggur setelah kerajaan negeri tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan yang sepatutnya,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Baling, Mohd Aziz Sukri pula berkata, kerajaan seharusnya mengkaji semula penetapan harga minyak secara mingguan.

“Adalah tidak logik sama sekali, apabila harga minyak dunia kini di bawah AS$63 setong, tetapi minyak RON 95 dijual pada harga sebanyak RM2.38 seliter.

“Sedangkan sebelum ini pun harga minyak pernah mencapai AS$190 setong, tetapi harga minyak RON 95 ketika zaman Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, ia dijual dengan harga RM2.30 seliter.

“Perbandingan harga tersebut menunjukkan perbezaan tiga kali ganda di bawah kepimpinan Najib dan juga Tun Abdullah,” jelsnya lagi.

Dalam himpunan aman tersebut laungan dan teriakan menuntut supaya kerajaan pimpinan Najib menurunkan harga minyak jelas kedengaran sambil mewarnai ‘flashmob’ tersebut.