Malaysia Dateline

PH Baling buat laporan polis, gesa siasatan segera kes tanah Felda

AMANAH kawasan Baling bersama-sama Pakatan Harapan (PH) Baling berharap pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dengan teliti terhadap mereka yang didakwa melesapkan harga negara.

Sehubungan itu PH Baling telah membuat laporan polis di Balai Polis Baling kelmarin menuntut supaya dakwaan berkaitan pindah milik tanah Felda yang dikatakan berlakunya transaksi mencurigakan disiasat dengan secepat mungkin dan telus.

Ketua AMANAH kawasan Baling, Johari Abdullah berkata, adalah suatu kerugian bagi negara ini apabila transaksi meragukan tersebut boleh berlaku terhadap tanah milik Felda.

“Kehilangan sebegini rupa amat membimbangkan kerana ia berada dalam pengawasan sebuah agensi kerajaan yang telah sekian lama wujud.

“Selain itu tanah ini juga adalah aset yang amat berharga dan tidak seharusnya berlaku pindah milik sedemikian sekiranya urus tadbir berjalan dengan baik dan jujur.

“Namun begitu, apabila pendedahan ini dibuat, ia bukan saja mengejutkan seluruh rakyat dalam negara ini, tetapi turut membabitkan sifat amanah yang ada pada mereka yang menyelia urus Felda,” jelasnya.

Manakala Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Kedah, Ridzwan Abu Bakar yang turut hadir berkata, kecuaian yang berlaku dalam urusan transaksi pindah milik tanah Felda amat mengecewakan seluruh rakyat dalam negara ini.

“Pembongkaran ini membuktikan betapa cuai, lalai dan tidak bertanggungjawab mereka yang telah diberi amanah untuk menjaga kepentingan Felda.

“Tiada mana-mana individu terlibat harus terlepas daripada kemungkaran yang amat merugikan rakyat dan negara dalam isu ini.

“Oleh itu adalah diharapkan isu yang amat serius ini disiasat dengan segera tanpa melindungi mana-mana pihak,” ujarnya.

Sebelum ini telah pun didedahkan mengenai transaksi mencurigakan sehingga berlakunya kehilangan tiga bidang tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM250 juta.

Rentetan itu desakan demi desakan telah dibuat oleh pelbagai individu maupun organisasi menuntut supaya perkara yang amat menggemparkan ini disiasat dengan segera.

Turut hadir dalam membuat laporan polis tersebut ialah Ketua Bersatu Bahagian Baling, Datuk Sufian Ahmad.