Malaysia Dateline

PH bekukan akaun bank Presiden Pas jika benar saya beri wang, kata Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak pernah membayar wang sebanyak RM90 juta kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun parti tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan tentu akan membekukan akaun bank Abdul Hadi jika benar dakwaan tersebut.

“Adalah amat tidak adil untuk Pas diserang dan difitnah berterusan tentang isu ini.

“Jika ianya benar ada sebarang bayaran dari saya ataupun dari Umno, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank Presiden Pas ataupun akaun parti Pas,” tegasnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Sejak PRU-14 iaitu hampir sembilan bulan, ujar Najib, pihak berkuasa di bawah kerajaan PH sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun-akaun beliau dan Umno.

Kenyataan Najib itu susulan tindakan Pas menarik balik saman fitnahnya terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang membuat tuduhan tersebut.

Rewcastle-Brown dalam artikel 6 Ogos 2016 mendakwa bahawa Najib menarik sokongan Pas menjelang pilihan raya umum dan sejumlah RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun para pemimpin tertinggi Pas.

Abdul Hadi kemudian memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown selaku defenden menerusi Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari lalu di Mahkamah Tinggi London.