Malaysia Dateline

PH belum putus terima secara automatik kemasukan anggota parlimen BN

Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat keputusan untuk menerima masuk secara beramai-ramai anggota parlimen Barisan Nasional (BN) secara automatik.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PH akan melihat kualiti orang yang hendak menyertainya, lapor Bernama.

Kata beliau, PH akan mempertimbangkan anggota parlimen BN) yang cuma ingin menjadi wakil rakyat dan tidak ada tindakan apa-apa, namun tidak akan masuk secara automatik.

“Jika MP dari BN tinggalkan parti itu dan menjadi bebas dan menyokong kerajaan dan merayu dengan berlutut yang mereka hendak menyertai PH, barulah PH mungkin mempertimbangkannya,” tambah beliau menurut laporan itu.

Menurut beliau, ada MP BN yang nyatakan sendiri untuk masuk PH dan antaranya hendak masuk seperti dalam satu kumpulan.

Mahathir turut menjelaskan bahawa PH tidak mempunyai senarai hitam anggota parlimen BN yang tidak dibolehkan menyertai PH.

Ditanya bagaimana Datuk Seri Mustapa Mohamed diterima masuk ke dalam PH, Dr Mahathir berkata Mustapa telah menemui beliau sejak dia masih dalam kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai perjumpaan beliau dengan anggota Parlimen BN, Perdana Menteri berkata beliau tidak pernah memanggil sesiapa untuk berjumpa.

Pada sidang media itu juga, Dr Mahathir turut mengumumkan bahawa Lim Kit Siang kini menjadi anggota dalam Majlis Presiden PH.