Malaysia Dateline

PH bentang pelan tindakan tangani masalah ekonomi rakyat petang ini

Pakatan Harapan akan melancarkan satu Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan petang ini, kata pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Beliau berkata, pelan tersebut digariskan bagi menyatakan fokus yang akan dilakukan bagi menangani beberapa permasalahan di negeri tersebut termasuk isu kesihatan, ekonomi, kebajikan rakyat, dan soal pengangguran anak muda.

Beliau berkata, memandangkan Melaka sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), masalah ekonomi adalah masalah terbesar kerana golongan masyarakat yang berpendapatan rendah 40 peratus (B40) kini semakin membesar menjadi 50 peratus (B50).

“PH sudah menyediakan beberapa agenda dan pelan-pelan tindakan kita untuk menyelesaikan masalah isu golongan B40, masalah peniaga, di samping persoalan melibatkan kestabilan politik,” katanya dalam satu rakaman video di Facebooknya malam tadi.

Adly memaklumkan, beliau menerima banyak keluhan peniaga-peniaga pasar malam yang ada antara mereka tidak mampu memulakan semula perniagaan kerana ketiadaan modal.

Menurutnya, PH akan menyediakan satu pelan bagi usahawan-usahawan kecil agar mereka mampu membuka semula perniagaan mereka.

PH juga katanya, tidak akan mengabaikan sektor pelancongan oleh kerana Melaka sememangnya dikenali sebagai salah satu tempat peranginan yang sentiasa dikunjungi orang ramai.

Beliau mengambil maklum beberapa perniagaan yang terpaksa gulumg tikar akibat penutupan pusat-pusat pelancongan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Oleh kerana itu beliau berkata, PH akan berbincang sama ada akan memberikan insentif khusus kepada pemain industri, termasuk pertimbangan memberi kelonggaran bayaran cukai dalam keadaan tertentu.

“Kita akan buat penilaian cukai kepada institusi ini supaya mereka boleh meneruskan perniagaan mereka.

“Antara isu lain adalah isu pekerjaan. PH akan sediakan pelan tindakan agar pekuang pekerjaan dapat disediakan kepada generasi muda,” katanya lagi

Pada masa sama Adly berkata, antara fokus lain yang akan dilakukan PH adalah melibatkan isu masa depan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Kita akan mencadangkan satu dana khusus untuk memastikan anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa agar mempunyai masa depan lebih sempurna sama ada kebajikan mahu pun pendidikan kerana tanggungjawab itu harus diambil oleh kerajaan,” katanya.