Malaysia Dateline

PH bergantung kepada peratusan keluar mengundi, rekahan undi Melayu, kata penganalisis

Berjaya atau tidak Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya negeri Melaka terletak kepada setakat mana parti itu dapat membawa pengundi keluar mengundi sekurang-kurangnya 80 peratus dalam pilihan raya negeri Melaka.

Jika ia gagal dibuat, faktor kedua yang membolehkan PH menang adalah perpecahan pengundi Melayu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

“Jika perpecahan undi Melayu ini berlaku dengan besar, ia akan memberikan lebih peluang kepada PH untuk menang,” kata Mohamad Hisomuddin Bakar dalam forum Siapa Pilihan Pengundi yang dianjurkan oleh Merdeka Centre malam ini.

Menurut Hisomuddin, PH telah ketinggalan dari segi isu yang menjadi senjata utama parti itu selama ini dan mereka kini berharap kepada kedua-dua perkara tersebut.

“Jika peratusan keluar mengundi rendah, PH akan rugi tetapi jika rekahan undi Melayu besar, PH berpeluang untuk menang,” kata Hisomuddin merujuk kepada kemenangan PH yang mendapat 15 dari 28 kerusi di DUN Melaka dalam PRU 14 lalu.

Menurut Hisomuddin, pengundi Cina yang terdiri dari kira-kira 30 peratus pengundi Melaka, pengundi India, pengundi muda dan pengundi luar kawasan adalah penyokong utama PH.

“Jika undi dari ketiga-tiga kumpulan ini terjejas maka peluang PH juga terjejas,” kata Hisomuddin.

Selain Hisomuddin, penal lain adalah Profesor Sivamurugan Pandian dan Ibrahim Sufian dari Merdeka Centre manakala moderatornya adalah Liyana Marzuki.

ADLY ASET BESAR PH

Ketiga-tiga ahli penal setuju, PH telah membuat keputusan yang tepat apabila menamakan Adly Zahari sebagai calon ketua menteri mereka.

Menurut Siva, Adly adalah antara ketua menteri yang popular dan dianggap berjaya di kalangan ketua menteri dan menteri besar di negara ini.

Hisomuddin pula berkata, penerimaan pengundi kepada Adly sangat memberangsangkan dan hampir kesemua pengundi di Melaka kenal dengan beliau.

“Nama beliau sentiasa di sebut oleh pengundi yang kami temui. Cuma adakah populariti ini akan diterjemahkan ke dalam kotak undi atau tidak, ini yang menjadi persoalannya,” kata beliau.

Menurut Ibrahim Sofian pula, faktor calon amat penting dalam pilihan raya kali ini dan BN telah mengemukakan ramai calon muda.

Namun, kata beliau, yang menimbulkan masalah adalah bagaimana mahu memperkenalkan calon-calon baru ini kepada pengundi ketika pilihan raya ini penuh dengan SOP yang mengawal pergerakan calon.

“Calon baru memang ramai diperkenalkan kali ini dan saya setuju faktor calon penting.

“Namun, kempen kali ini sukar kerana banyak SOP yang perlu dipatuhi. Majoriti pengundi yang kami temui pula tidak dapat maklumat sebab calon baru. So simbul parti menjadi penting semula,” kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata, buat masa sekarang agak sukar untuk menjangkakan parti mana yang akan menang dalam pilihan raya ini kerana sekitar 15 – 16 kerusi sahaja yang jelas pemenangnya buat masa ini.

“Manakala selebihnya, terumbang ambing kedudukannya dan sukar untuk diduga buat masa sekarang. Mungkin semakin dekat hari mengundi, mungkin Jumaat ini agak lebih jelas,” kata Ibrahim.

Prof Siva pula tidak menolak kemungkinan akan ada calon bebas akan menang dalam pilihan raya ini selepas ramai pengundi muak dan kecewa dengan parti-parti politik yang ada.

Beliau memberi dua kerusi iaitu Machap Jaya dan Tangga Batu sebagai kerusi yang berpotensi untuk calon bebas menang dalam pilihan raya ini.