PH, Bersatu dan aktivis bantah tindakan rasis Trump

PH, Bersatu dan aktivis bantah tindakan rasis Trump

Pemimpin Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan memorandum bantahan ke atas Presiden Amerika (AS) Syarikat Donald Trump di Kedutaan AS di ibu negara, semalam.

Bantahan itu berikutan tindakan Trump rakyat tujuh buah negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman daripada memasuki negara itu.

Pemimpin utama Pakatan Harapan dan Bersatu diiringi ratusan orang yang berkumpul selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

Mereka kemudiannya berarak sejauh 600 meter ke Kedutaan AS sambil melaungkan slogan “No Ban, No Wall” dan mengangkat pelbagai sepanduk.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan, tindakan Trump itu bukannya untuk menentang militan Daesh sebaliknya bertindak rasis kepada umat Islam.

“Bantahan ini bukan sahaja dibuat oleh orang Islam, malah mereka juga yang bukan beragama Islam termasuklah rakyat dari negara Eropah seperti Kanada, Italy dan Jerman.

“Trump bukan dilihat hendak menangani kumpulan pengganas Daesh, tapi kita lihat dia menentang hak asasi perintah eksekutif yang mencelakakan,” katanya ketika berucap sebelum menyerahkan memorandum.

Beliau berkata, ini adalah satu tindakan perkauman dan rasis yang cuba dihidupkan oleh seorang presiden dari sebuah negara yang liberal dan demokratik.

Katanya, dunia kini sedang menuju kepada situasi yang buruk, bukannya aman.

“Kita tak ada masalah jika mereka kata militan dan pengganas tidak dibenarkan masuk ke sesuatu negara, tapi ini bukan soal militan dan pengganas. Ini soal hal asasi manusia. Kemungkinan selepas ini negara-negara lain pula yang akan disekat,” katanya.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan pada jam 3.15 petang kepada wakil kedutaan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Salahuddin Ayub turut bersama-sama dalam bantahan

Ahli Parlimen DAP dari kawasan Petaling Jaya Utara, Tony Pua ketika ditemui pemberita berkata, dasar tidak demokratik yang dilaksanakan Trump itu bukan sahaja dilihat dunia sebagai diskriminasi terhadap umat Islam, malahan kemanusiaan secara keseluruhannya.

“Mengapakah Najib sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1MDB?” – Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Namun, dalam kemarahan masyarakat dunia terhadap langkah sekatan itu, katanya, sikap berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga kini menimbulkan tanda tanya.

“Mengapakah Najib sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1MDB?” soalnya.

Marina Mahathir antara aktivis yang sama-sama membantah Donald Trump