PH, Bersatu kena seiring kukuhkan ikatan, kata Husam Musa

PH, Bersatu kena seiring kukuhkan ikatan, kata Husam Musa

Parti-parti dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu diberi peluang melaksanakan peranan masing-masing sehingga kerajaan sekarang benar-benar dapat ditumbangkan.

Parti-parti dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu diberi peluang melaksanakan peranan masing-masing sehingga kerajaan sekarang benar-benar dapat ditumbangkan.

“Pacak bendera kita kalau rendah sama rendah, kalau tinggi biarlah sama tinggi,” kata Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa di majlis perasmian kibar bendera Amanah peringkat kawasan Ketereh hari ini.

Menurutnya parti-parti yang telah sama-sama berjanji untuk sepakat ini tidak harus mementingkan diri sendiri sebaliknya sentiasa bantu-membantu bagi menjadikan cita-cita menjadi realiti.

“Dalam hal bendera di simpang Ketereh ni kita mahu semua parti yang bersama kita ada, kalau boleh biar dekat-dekat.

“Tadi bila sampai nampak bendera parti Pas sebelah tiang kita lusuh dan koyak, ini pun saya kurang senang kerana nanti kata kita nak ambil kesempatan,” katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana pihak Pas telah diberitahu mengenainya.

Beliau kemudian memanggil ketua pemuda Amanah Ketereh, Mohd Asri Mohd Zain untuk membuat pengesahan mengenai hal tersebut.

Ketua pemuda Ketereh Mohd Asri Mohd Zain memberitahu Pas telah diminta menukar benderanya yang sudah lusuh dan koyak

“Ni saudara Asri jadi saksi pihak kita telah beritahu mereka,” katanya sambil meminta Asri membuat pengakuan.

“Saya mengaku telah memberitahu penghulu supaya tukar bendera baru tapi dia kata biarlah dulu,” kata Asri.

Tiang bendera Amanah setinggi 65 kaki didirikan di simpang empat berhadapan balai polis Ketereh.

“Paling menarik simpang empat Ketereh ini menjadi tempat semua parti-parti politik menaikkan bendera masing-masing di sini,” kata Husam.

Pada musim perayaan menurutnya simpang empat Ketereh sangat dikenal anak-anak perantau yang pulang berhari raya.

“Simpang ini paling teruk menghadapi kesesakan yang menyebabkan masa menunggu hingga beberapa jam.

“Inilah antara sebab mengapa arwah Tok Guru mengambil keputusan untuk membina lebuh raya rakyat Kota Bharu Kuala Krai,” katanya.

Malangnya kata Husam ketiadaan Nik Aziz telah menjadikan pembinaan lebuh raya menjadi beban kepada kerajaan dan rakyat Kelantan.

“Minggu lalu mahkamah memutuskan untuk menerima tuntutan syarikat Dae Hanguru yang ditamatkan kontrak secara tidak sah oleh kerajaan.

“Dalam mesyuarat exco terbaru pula saya difahamkan syarikat yang menggantikan Dae Hanguru pula ditamatkan kontrak oleh kerajaan negeri.

“Pihak kerajaan akan mengalami kerugian yang besar berkaitan penamatan syarikat-syarikat ini,” katanya.

Menceritakan kembali usaha Nik Aziz untuk merealisasikan lebuh raya rakyat itu, Husam berkata beliau pernah diarahkan untuk memberi taklimat kepada Islamic Development Bank (IDB) di Jeddah.

“Malangnya ada exco yang hadir sama di majlis itu awal-awal lagi memberi gambaran tentang kesukaran membawa balik wang ke Malaysia.

“Exco itu yang masih ada dalam kerajaan sekarang memang jenis berfikiran negatif, sebab itulah kini kalau kita perhatikan tiada benda baru yang dapat dibuat oleh kerajaan.

“Asyik-asyik terus guna yang lama yang telah diinspirasikan oleh Tok Guru, Ustaz Yahya dan pemimpin-pemimpin terdahulu,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Amanah diberi peluang mentadbir Kelantan satu majlis penasihat yang terdiri dari kalangan mereka yang berjaya di luar Kelantan akan dibuat bagi memberi idea-idea bernas membangunkan negeri.

“Kita perlu mengumpul semua pihak tidak kira latar belakang mereka samada dari berpendidikan agama atau bidang-bidang profesional lain,” katanya.

TAGS