PH bertekad jadikan ATM dan polis pasukan dihormati, disegani

PH bertekad jadikan ATM dan polis pasukan dihormati, disegani
Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail

Dr Wan Azizah Ismail

Menjelang pengundian awal pilihan raya umum ke-14 (PRU14) esok, Pakatan Harapan (PH) menyeru anggota pasukan keselamatan agar membuat pilihan yang bijak dengan memberi mandat kepada pihak yang akan memenuhi harapan dan menjaga kebajikan mereka.

Di masa yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus bertanggungjawab memastikan proses pengundian awal berjalan dengan lancar dan bebas dari sebarang penyelewengan, kata presiden PH datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Pengundi-pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, isteri atau suami anggota tentera, anggota polis, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), isteri atau suami Anggota PGA.

“Saya menyeru kepada semua pemilih yang layak mengundi awal supaya menunaikan tangggungjawab mereka dan buatlah pilihan dengan penuh bijaksana.

“Pilihan yang dibuat oleh saudara dan saudari akan memberi kesan kepada negara dan kita semua. Berilah mandat kepada mereka yang akan memenuhi harapan dan menjaga kebajikan saudara dan saudari,” ujar Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyeru anggota pasukan keselamatan agar memberi mandat kepada pihak yang menghargai pengorbanan mereka untuk negara.

“Pengorbanan saudara dan saudari untuk keselamatan negara haruslah dihormati dan disanjungi. Adalah amat tidak wajar anggota keselamatan negara diperalatkan untuk mempertahankan keangkuhan sang penguasa yang rakus,” tegas beliau.

Kerajaan baru PH, katanya berjanji untuk menjadikan angkatan tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Polis DiRaja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani dan komitmen ini termaktub sebagai janji ke-20 manifesto PH atau Buku Harapan.

“Demi masa depan kita semua pilihlah Harapan, pangkah lambang Keadilan,” katanya.

5.0
OVERALL SCORE
: 5.0
1 user vote x 5.0