Malaysia Dateline

PH bertemu Speaker gesa Parlimen kembali bersidang

Pakatan Harapan (PH) hari ini bertemu empat mata dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan itu membincangkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat selaras dengan kenyataan media Istana Negara baru-baru ini.

Kabinet pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menangguhkan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos depan atas alasan bimbang penularan Covid-19 dalam bangunan Parlimen.

Kabinet pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menangguhkan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos depan susulan pelaksanaan perintah darurat di seluruh negara atas alasan bimbang penularan Covid-19 dalam bangunan Parlimen.

Azhar dalam kenyataan pada 12 Januari lalu berkata, hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh darurat manakala kedudukan dan tanggungjawab semua Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat, tetap sama seperti sedia kala dan berterusan kerana persidangan Parlimen sekadar digantung.

Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, penangguhan sidang Parlimen antara lain disebabkan hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19.

Jelasnya, 77 daripada 220 ahli Parlimen berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

“Jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup,” katanya.