Malaysia Dateline

PH berusaha letakkan negara dalam lanskap lebih baik

Genap setahun kemenangan Pakatan Harapan (PH) menjelang 9 Mei yang akan datang perlu dihayati segala perjuangan yang telah dilalui.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya ketika berucap pada program MyBest Buy Pra Ramadhan di Butterworth semalam.

Rentetan itu katanya, dalam usaha untuk mengubah dasar pentadbiran dan meletakkan negara dalam lanskap politik yang lebih baik, maka segala halangan dan rintangan harus dijadikan iktibar.

“Fokus utama adalah bagi kesejahteraan rakyat dalam negara ini.

“Apabila berlaku kerosakan, bukan mudah untuk diubah sekelip mata.

“Ini ditambah lagi dengan kesulitan setelah negara terpaksa menanggung beban hutang yang besar semasa mulai menerajui kepimpinan,” ujarnya lagi.

Malah kata beliau, kerajaan PH mempunyai aspirasi yang tinggi agar rakyat negara ini dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.

“Kerajaan juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai tribulasi dan provokasi serta serangan politik pihak lawan.

“Usaha dan kecaman pihak yang tidak bertanggungjawab ingin melihat wujudnya perpecahan dalam kalangan PH begitu rancak dilakukan.

“Namun begitu ‘good governance’ yang menjadi inspirasi Perdana Menteri akan tetap menjadi prioriti dan diteruskan supaya kita dapat menjadi sebuah kerajaan yang cekap, bersih dan amanah, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu tambah beliau, bagi kawasan Bagan khususnya maka usaha mesti ditingkatkan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Di samping itu juga katanya, ruang niaga, pusat riadah yang menjadi tumpuan pelancong harus diberi perhatian agar ia tidak ketinggalan.

Dalam majlis yang sama Marzuki turut menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan serta pelajar miskin yang cemerlang dari Maktab Wan Jah, Butterworth.