Malaysia Dateline

PH bimbang ‘trend’ agensi kerajaan diperalat untuk mengugut MP yang tidak sokong PM

Majlis Presiden Pakatan Harapan bimbang terhadap trend yang berlaku di mana agensi-agensi Kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperalat bagi menekan dan mengugut Ahli-Ahli Parlimen yang tidak menyokong kerajaan.

Mereka mendakwa ada usaha untuk menekan dan mengugut Ahli-Ahli Parlimen berterusan kerana kengganan menyokong perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah PH berkata, usaha itu dipertingkat untuk menjadi talian hayat politik seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan dan telah hilang sokongan majoriti.

“Pada masa yang sama, umum sedia maklum tiada sebarang tindakan atau siasatan yang diteruskan oleh SPRM atau LHDN terhadap mereka yang telah khianat, menyeberang dan menyokong Tan Sri Mahiaddin.

“Oleh itu, kami menegaskan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan wajib bersifat profesional, neutral dan tidak mengikut selera politik pemerintah sekarang.

“Jangan terlanjur dalam keadaan nakhoda sedang hanyut,” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH Mohamad Sabu, dan DAP Lim Guan Eng.

Kenyataan PH itu merujuk kepada pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang sejak beberapa hari lalu dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan.