Malaysia Dateline

PH, BN perlu bentuk kerajaan bersama melawan ekstremis agama, kaum

Para pemimpin Umno dan Barisan Nasional diajak untuk bekerjasama melawan ektremis agama dan kaum sebagaimana saranan yang diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sebagai permulaan, BN perlu bersama-sama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, dan bekerja bersama ke arah itu sebagai kerajaan.

“Umno dan PH perlu mengenalpasti apa ancaman terbesar kepada negara dan kepada Umno sendiri sekarang sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini iaitu mendadaknya sentimen ektremis agama dan kaum.

“Apa yang berlaku di kalangan pengundi anak muda ini sangat bahaya kepada masa depan negara yang bersifat majmuk dan perlu dihentikan.

“Ia hanya boleh dilakukan dengan PH dan Umno bersama-sama duduk dalam kerajaan dan merangka pendekatan bersama bukan menjadi pembangkang,” kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

UMNO HORMATI KEPUTUSAN PENGUNDI

Khalid juga berpendapat, jika BN mahu menghormati mandat rakyat, mereka perlu membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selepas PH mendapat kerusi dan undi terbanyak.

Dalam PRU-15, Pakatan Harapan mendapat jumlah kerusi tertinggi iaitu 82 dan undi tertinggi iaitu 5,810,690. (Lihat senarai di bawah)

Jumlah undi yang diperolehi oleh parti-parti politik dalam PRU-15.

“Bagi saya, kalau Umno berpendirian berdasarkan kehendak rakyat, mereka kena hormat keputusan rakyat memberikan kerusi dan undi terbanyak kepada PH.

“Untuk melaksanakan perkara ini, Umno boleh membantu menunaikan hasrat rakyat ini dengan membolehkan Anwar menjadi perdana menteri dengan menyokong pencalonan beliau,” kata Khalid.

Beliau mengulas pendirian Umno dan rakan-rakannya dalam BN yang mahu kekal sebagai pembangkang dengan alasan ia kehendak rakyat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mula mencadangkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung tubuh kerajaan kerana mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.

“Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.

“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.

“BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab ‘check and balance’ kerajaan baru,” katanya dalam kenyataannya di Facebook beliau.

BACA JUGA Adakah ‘kerajaan bendera putih’ berulang sekali lagi selepas PRU 15 ini?

JUGA Kerajaan perpaduan: “Saya akan patuh titah Agong,” kata Anwar

DAN JUGA Henti sebar video kibar bendera ‘komunis’ atau tindakan boleh dikenakan jika ingkar