Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

PH boleh tawan Kedah jika DAP tanding Gurun, Kulim, kata Kit Siang

Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mensia-siakan peluangnya di Kedah dengan meletakkan parti yang tidak berpeluang untuk menang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian bagi menjamin kemenangan PH mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN) dengan menyenaraikan tiga strategi penting DAP mengukuhkan kekuatan pembangkang di negeri jelapang padi itu.

Strategi pertama katanya, PH perlu memenangi kubu kuat BN termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N1 Ayer Hangat dan N2 Kuah di Langkawi, ini termasuk dua kerusi Dun di N5 Bukit Kayu Hitam dan N6 Jitra di Parlimen Kubang Pasu.

“Jika PH memenangi Parlimen Langkawi dan dua kerusi negeri tersebut – senario yang belum pernah terfikirkan, maka ia merupakan petunjuk nyata berlakunya ‘tsunami politik’ pilihan raya di Malaysia seterusnya ke seluruh Semenanjung Malaysia hingga ke Johor,” katanya dalam kenyataan.

DAP bertanding di Gurun dan Kulim

Kedua, DAP harus diberi peluang meningkatkan sokongan rakyat khususnya masyarakat bukan Melayu kepada HARAPAN dengan meletakkan calon di kawasan tengah dan selatan Kedah.

“Di bahagian tengah, DAP minta untuk meletakkan calon di N22 Gurun (Parlimen Jerai) – kerusi campuran pelbagai kaum (56% Melayu, 27% Cina dan 17% India) yang mana dimenangi oleh MCA pada tahun 2013.

“Bagi selatan Kedah, DAP meminta supaya dapat meletakkan calon di kerusi N35 Kulim yang juga kerusi campuran (60% Melayu, 23% Cina dan 17 India) yang kini disandang MCA menewaskan calon PKR dalam PRU13 dengan 643 majoriti,” kata Kit Siang.

Menurutnya, jika tidak diberi peluang bertanding di kerusi parlimen atau DUN di bahagian selatan, ia dikhuatiri menyebabkan DAP mengalami kesukaran untuk memobilasi penyokong membantu jentera PH negeri itu.

Ketiga kata Kit Siang, PH harus menunjukkan perpaduan yang lebih kukuh dan mantap berbanding BN.

“Pengukuhan PH di Kedah memudahkan rakyat jelas untuk buat pilihan.

“Ini akan memberikan kelebihan kepada penyokong atas pagar dan pro-pembangkang untuk mengundi PH berbanding membazirkan undi mereka kepada parti yang tidak mempunyai peluang untuk menang di kerusi negeri, mahupun peringkat persekutuan,” katanya lagi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DAP hanya bertanding di dua kerusi negeri tanpa sebarang kerusi parlimen di Kedah dan memenangi kedua-dua kerusi tersebut di N11 Derga di bawah Parlimen Pokok Sena dan N13 Kota Darul Aman di Parlimen Alor Setar.