Malaysia Dateline

PH buat keputusan tidak boleh terima ahli lompat dari parti rakan

Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan, parti-parti gabungannya tidak boleh menerima ahli parti yang lain dari gabungan untuk untuk menyertainya.

Keputusan ini dicapaikan dalam mesyuarat PH baru-baru ini, kata anggota mesyuarat itu yang juga Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada The Malaysian Insight.

“Dalam mesyuarat majlis presiden terbaru, satu keputusan penting dibuat, pada prinsipnya PH tak boleh terima ahli parti kawan untuk masuk ke dalam parti kawan yang lain. Itu untuk memelihara keharmonian dan persahabatan dalam PH.

“Persefahaman PH adalah mereka boleh lari tinggalkan kerusi tapi kerusi itu akan tetap ditandingi parti yang tanding dalam pilihan raya lepas… kecuali ada kes tertentu yang boleh berlakunya pertukaran kerusi.

“Hubungan kita jaga, sebab itu kita adakan peraturan baru ini,” kata Salahuddin dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Salahuddin bagaimanapun berkata, penyertaan wakil rakyat AMANAH ke dalam PKR berlaku bukan semata-mata atas faktor parti tetapi juga kerana faktor individu itu sendiri.

“AMANAH juga sedang teliti sebab mereka meninggalkan parti. Kita sedang membuat suatu tinjauan yang serius dan barang pasti bagi saya mungkin ada kelemahan parti dan juga individu mereka yang melompat itu.

“Tetapi apa yang kita boleh pastikan sekarang semuanya individu, bukan berkumpulan. Bukan mereka keluar bawa rakan lain. Semuanya berseorangan,” kata Salahuddin lagi.