Malaysia Dateline

PH buat yang terbaik di Perlis, kata Adun Indera Kayangan

Pakatan Harapan (PH) Negeri Perlis tetap mendapat dokongan rakyat negeri Perlis kerana telah melaksanakan yang terbaik sejak pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Gan Ay Ling,

Beliau berkata, walaupun PH menjadi pembangkang di Perlis, segala komitmen tetap diteruskan bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan termasuklah melalui kerajaan Pusat.

“Apabila turun padang, kita akan melaksanakan segala tanggungjawab dengan serius dan bersungguh-sungguh.

“Ini termasuklah memberi pembelaan terhadap golongan tidak berkemampuan seperti warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim dan seumpamanya.

“Sokongan yang telah diberikan oleh rakyat sehingga kita mampu memenangi tiga kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen di Perlis adalah suatu kemenangan yang amat mahal dan perlu dihargai,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis penyampaian kelengkapan persekolahan kepada 200 pelajar yang memerlukan di Perlis.

Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Gan Ay Ling yang juga mmerupakan Adun Indera Kayangan(dua dari kanan)semasa menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan di Felda Chuping.

Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis turut berkata, PH kini semakin terbuka dan menghormati kebebasan bersuara yang dipraktikkan.

Malah ujarnya, kebebasan yang diamalkan tidak langsung menyekat gerak kerja turun padang bagi meringankan beban rakyat dan mereka yang mengharapkan sokongan.

“Dengan jumlah kerusi yang ada, PH terus menyalurkan setiap polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Kita memberi ruang kepada semua golongan masyarakat termasuk yang berada di bawah untuk mengeluarkan pandangan dan kritikan membina.

“Realitinya, PH membuktikan kita lebih terbuka dan mendengar pandangan golongan bawahan tanpa menghalang mana-mana suara untuk didengari, ” tambah beliau.

Sehubungan itu ujarnya lagi, PH mempunyai peluang yang besar untuk meraih sokongan rakyat bukan saja di Perlis tetapi juga diperingkat Pusat setelah prestasi yang dipertontonkan sejak 17 bulan yang lalu condong kepada membela nasib rakyat.

Penyampaian kelengkapan persekolahan turut diadakan di Felda Chuping, Paya Burma Kok Klang, Guar Nangka, Kubang Tiga, Padang Jelutong, Guar Musang, Padang Melangit, Panggas, Batu Bertangkup dan Balik Bukit.