Malaysia Dateline

PH bukan BN, peralihan jawatan PM diputuskan Majlis Presiden

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sudah pasti akan membuat keputusan akan saranan beberapa pihak mengenai peralihan kuasa Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

Oleh kerana itu tidak dapat disangkal, sudah semestinya perwakilan parti masing-masing akan mengutarakan pandangan tersendiri mengenai kedudukan kerusi tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ketika ditemui selepas pelancaran ‘Peduli Kepala Batas’ AMANAH kawasan Kepala Batas,semalam.

Jelas beliau lagi, samada Tun akan menghabiskan penggal yang ada atau menyerahkan kedudukan tersebut kepada Anwar juga akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

“Majlis Presiden PH sedia ada bukannya seperti Umno dan BN yang telah membuat keputusan hanya oleh seorang sahaja.

“PH amat jauh bezanya dari Majlis Presiden Umno dan BN kerana semua tindakan dibincang sebelum keputusan muktamad diambil.

“Sehubungan itu kematangan pimpinan PH khususnya Majlis Presiden merupakan tunggak kepada keputusan yang akan dibuat, ” ujarnya lagi.

Datuk Dr Ismail Salleh ketika majlis Pelancaran Peduli Kepala Batas.

Beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah turut berkata, suasana kini adalah jauh berbeza jika dibandingkan samada sebelum atau selepas pilihan raya umum (PRU).

Malah katanya, janji yang telah dibuat harus diambil kira serta kesesuaian yang ada tatkala ini.

“Sekiranya pimpinan Majlis Presiden merasakan janji yang telah dibuat semasa PRU dahulu boleh dilaksanakan kini serta memberi nilai tambah kepada PH,maka ia boleh dilaksanakan sekarang.

“Namun begitu seandainya Tun belum sempat melaksanakan reformasi dan kepimpinan baru pula perlu disusun semula serta membawa halangan, maka keputusan juga akan dibuat oleh kepimpinan peringkat nasional.

“Oleh itu isu ini seharusnya dibincang dan diputuskan oleh Majlis Presiden PH di peringkat nasional sahaja demi untuk masa depan PH yang telah pun diberi mandat oleh rakyat dalam PRU Mei yang lalu, ” tambah beliau lagi.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Taufek Abdul Rahman serta barisan kepimpinan AMANAH kawasan Kepala Batas.